BINTULU, Julai 21: Niat jahat empat lelaki meraih keuntungan segera dengan mencuri kabel telekomunikasi akhirnya terbalas apabila mereka diberkas polis di sebuah rumah di Jalan Tanjung Kidurong, semalam.
Keempat-empat suspek berusia antara 20 hingga 43 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 6.30 petang.
Jurucakap polis berkata, seorang peniaga barangan lusuh antara yang dicekup menerusi dua serbuan berasingan tersebut.
Katanya, semasa serbuan dilakukan, polis turut merampas pemotong besi, gergaji, pisau dan playar yang dipercayai digunakan suspek melakukan kegiatan jenayah itu.
“Dalam serbuan itu, polis juga menemui pelbagai jenis kabel dan guni berisi kabel tembaga yang disyaki dicuri sebelum dijual,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, siasatan awal mendapati tiga suspek terbabit telah bersengkokol dengan peniaga barangan lusuh itu.
Katanya, keempat suspek sudah dibawa ke balai polis untuk ditahan reman.
“Polis sedang mengenal pasti kedai besi buruk yang menjadi tempat kabel itu dijual.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda awam,” ujarnya lagi. — DayakDaily