Gempar bangkai dugong ditemui mati terapung

Bangkai dugong yang ditemui di Sungai Punang, Lawas.

LAWAS, Julai 21: Masyarakat setempat di Kampung Punang gempar dengan penemuan bangkai seekor dugong di Sungai Punang di sini.

Mamalia sepanjang kira-kira 1.2 meter itu dipercayai sudah mati dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan fizikal luarannya.

Menurut penduduk kampung yang dikenali sebagai Jaidin, spesies hidupan laut terancam tersebut dijumpai kira-kira pukul 3.30 petang.

Katanya, dia pada mulanya menyangka bangkai dugong yang terapung itu adalah bangkai seekor ikan lumba-lumba.

“Apabila didekati, rupa-rupanya dugong yang mati bukannya seekor ikan lumba-lumba.


“Saya kemudian menghubungi Jabatan Perikanan Daerah Lawas bagi mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Penduduk kampung itu menambah, bangkai dugong tersebut kemudian dibawa naik ke jeii untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, dia sendiri tidak tahu dari mana mamalia laut itu datang sebelum bangkai haiwan tersebut hanyut hingga ke Sungai Punang di sini.

“Jika dilihat dari luaran dugong berkenaan, mamalia itu disyaki mati akibat terjerut pukat nelayan.

“Ini kerana terdapat kesan lilitan tali pukat dugong itu,” ujarnya lagi. — DayakDaily