KPSSB umum dividen 15 peratus bagi tahun 2020

File photo for illustration purposes
Advertisement

KUCHING, 18 SEPT: Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad (KPSSB) mengisytiharkan pembayaran dividen 15 peratus kepada 667 anggotanya bagi tahun 2020.

Pengumuman dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunannya Yang Ke-7 pada 10 September 2021 yang diadakan secara mesyuarat hybrid.

Menurut Pengerusinya Dabrin Peter, KPSSB mengisytiharkan pembayaran dividen pertama untuk tahun 2017 sebanyak 15 peratus, 10 peratus untuk tahun 2018 dan 8 peratus untuk tahun 2019.

Advertisement

“KPSSB mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan hasil keuntungan sebanyak RM0.55 juta berbanding RM0.45 juta pada tahun sebelumnya walaupun kini terpaksa berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara.

“Keuntungan ini adalah hasil daripada aktiviti pelaburan dan aktiviti-aktiviti perniagaaan yang telah dijalankan sepanjang tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Dabrin, pihak KPSSB mempunyai perancangan untuk meneroka peluang perniagaan baru untuk mempergiatkan lagi perniagaan koperasi bagi menambah pendapatan mereka.

Beliau juga menyarankan kepada mereka yang belum menjadi ahli KPSSB supaya mengambil kesempatan ini mendaftar menjadi ahli KPSSB dan membuat pelaburan yang maksimum.

“Ia seperti yang diluluskan oleh Mesyuarat Agong Tahunan sebanyak RM25,000 setiap seorang.

“Keahlian KPSSB dibuka kepada peserta- peserta projek SALCRA, kakitangan SALCRA yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara, kakitangan Kumpulan Syarikat SALCRA atau yang telah bersara,” katanya.

Penubuhan KPSSB telah dipersetujui oleh Lembaga SALCRA pada mesyuarat Lembaga pada 28 Jun 2013 dan pendaftarannya diluluskan oleh Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 1 Ogos 2013 dengan nama “Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad”.

Penumbuhan Koperasi adalah salah satu usaha SALCRA untuk meningkatkan pendapatan para peserta SALCRA untuk mencapai sasaran RM4,000 sebulan. – DayakDaily

Advertisement