KPM tetapkan 3 model pengoperasian pembukaan penuh sekolah — Radzi

School books. —DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Julai: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu
dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata ia adalah model satu sesi, model dua sesi dan model penggiliran.


“Model pertama iaitu model satu sesi ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

“Model dua sesi ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi
secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

“Model penggiliran ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan
model dua sesi. Kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang
tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Putrajaya hari ini selain mengumumkan bahawa tarikh pembukaan penuh sekolah adalah pada 15 Julai 2020.

Mengulas berhubung model penggiliran untuk sekolah menengah, Radzi berkata murid Tingkatan 5 dan 6 perlu hadir ke sekolah setiap hari.

Manakala kehadiran murid Tingkatan 1 hingga 4 perlu dibuat secara bergilir-gilir mengikut kelas atau aliran tertentu.

“Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid.

“Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid Tingkatan 4 akan turut hadir setiap hari. Keutamaan diberi sebagai
persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan,” ujar beliau.

Bagi model penggiliran murid sekolah rendah, Radzi berkata murid Tahun 1 hingga 6 boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau
tahap.

Dalam hal ini katanya, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

“Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara ‘Home-Based Learning’ di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah,” jelas beliau lagi.

Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya. — DayakDaily