Lelaki maut, lori terbalik di KM73 Jalan Bintulu-Miri

Anggota bomba mengeluarkan mayat lelaki yang tersepit di tempat duduk kenderaan dipandunya.

KUCHING, 1 Julai: Seorang lelaki maut selepas lori tangki dipandunya terbalik di KM73 Jalan Bintulu-Miri hari ini.

Mangsa, 64, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Penumpang yang juga merupakan cucu kepada mangsa, berusia 15 tahun, selamat tanpa sebarang kecederaan.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 11.20 pagi hari ini.

Tambah beliau, hasil siasatan, lori dipandu mangsa ketika itu dalam perjalanan menghala ke Bintulu.

“Ketika kejadian, lori yang melalui selekoh curam telah terbabas dan terjunam lalu terbalik.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” dedah beliau menerusi satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily