KPKT rancang pinda Akta 118 untuk lindungi pembeli rumah

Datuk Zuraida Kamaruddin

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 11 April: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk meminda Akta 118, Pemajuan Perumahan (Kawalan dan perlesenan) (disemak-1973) bagi mengatasi masalah projek pembinaan rumah yang terbangkalai.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata perkara itu penting memandangkan akta sedia ada itu sedikit longgar dan menyukarkan kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemaju yang gagal dan menyebabkan sesebuah projek perumahan itu terbengkalai.


Situasi itu, kata beliau, pastinya merugikan pembeli kerana mereka (pembeli) telah mengeluarkan kos yang banyak dari segi bayaran pendahuluan rumah selain perlu membayar pinjaman perumahan mereka dengan institusi kewangan.

“KPKT kini dalam perancangan untuk membuat satu akta bagi mengawal projek terbengkalai ini iaitu apakah tindakan yang lebih serius yang harus kita ambil terhadap pemaju ini.

“Ketika ini undang-undang masih lagi agak longgar seperti hanya mengenakan tindakan senarai hitam sahaja dan kita tidak dapat ambik tindakan apabila pemaju ini mengistiharkan sebagai bankrap dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat Syarikat Perumahan Negara  Berhad (SPNB) di sini hari ini.

Zuraida (tengah) memotong reban bagi merasmikan pejabat baharu SPNB cawangan Sarawak

Zuraida berkata, selain meminda atau mewujudkan akta baharu KPKT juga bercadang untuk menaikan peratusan tabung kecemasan atau ‘Sinking Fund’ yang perlu disumbangkan pemaju yang ingin melaksanakan sesebuah projek perumahan.

Kenaikan itu, katanya bagi mengatasi atau menyelamatkan sesebuah projek berkenaan daripada dibelenggu masalah terbengkalai yang seterusnya merugikan pembeli.

“Di masa hadapan kalau kita ada skim tabung itu barulah kita boleh tolong pembeli-pembeli dan pemaju menyiapkan projek-projek yang mempunyai risiko terbengkalai ini,” katanya.

Zuraida (dua,kiri) melihat replika rumah yang dibina oleh SPNB di Sarawak

Jelas Zuraida, selain bercadang untuk meminda Akta 118, Pemajuan Perumahan (Kawalan dan perlesenan) (disemak-1973), KPKT juga kini dalam proses penyediaan Draf Akta Penyewaan Kediaman bagi tujuan melindungi pembeli dan pemilik kediaman.

“Kita berharap penyediaan dan penambahbaikan terhadap kedua akta ini akan dapat membantu dalam melindungi pembeli rumah di negara ini,” katanya. — DayakDaily