KPDNKK serbu karnival jualan murah, 168 pasang kasut tiruan pelbagai jenama dirampas

Penguatkuasaan KPDNKK merampas kasut tiruan pelbagai jenama.
Advertisement

KUCHING, Mac 30: Para peniaga karnival jualan murah di Stadium Perpaduan di sini hari ini tergamam dengan serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu, KPDNKK Sarawak telah merampas sebanyak 168 pasang kasut tiruan pelbagai jenama.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas menerima aduan awam terdapat barangan tiruan khususnya kasut dijual di tapak karnival tersebut.

Advertisement

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,400.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Hafidz menambah, jika disabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 untuk sepasang kasut atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat perbadanan pula, pesalah boleh didenda maksimum RM15,000 bagi sepasang kasut untuk kesalahan pertama dan kesalahan kedua RM35,000 untuk setiap satu pasang. — DayakDaily

Advertisement