KPDNHEP: Tiada pembelian panik di Bahagian Kapit

Pegawai KPDNHEP Kapit melakukan pemantauan barangan di sebuah premis di Kapit

KUCHING, 12 Jan: Situasi pembelian panik tidak berlaku di Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Belaga.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal ehwal Pengguna(KPDNHEP) Kapit berkata, bekalan barangan keperluan asas di Bahagian Kapit adalah mencukupi.

“Hasil pemantauan di semua premis perniagaan di peringkat pemborong di Sibu dan peruncit-peruncit di sekitar Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Belaga mendapati bekalan barangan adalah mencukupi,’ menurut Ketua Pegawai PenguatKuasa Cawangan Kapit Al-Redzamani Bin Abdul Razak.


Jelas beliau, KPDNHEP Cawangan Kapit telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan barang-barang keperluan asas.

Katanya, semua premis masih beroperasi seperti biasa dan sehingga kini bekalan keperluan asas adalah mencukupi di semua peringkat.

“KPDNHEP cawangan Kapit telah membuat pemantauan ke atas 12 barangankeperluan termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka.

“Ini membabitkan 10 peruncit terpilih daerah(DDR) yang meliputi Bandar Kapit, Pekan Song dan Pekan Belaga.

“KPDNHEP cawangan Kapit ingin menasihati orang ramai agar membeli barangan mengikut keperluan sahaja dan tidak membeli barangan secara berlebihan,” ujar beliau. – DayakDaily