KPDNHEP: Tiada DNA babi dari analisa sampel daging mi kari

Datuk Iskandar Halim Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP

KUCHING, 24 NOV: Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan tiada unsur DNA babi dikesan di dalam daging mi kari yang dihidangkan di sebuah restoran di Selangor.

Sebaliknya, hasil analisa dan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel daging yang diterima mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan di dalam daging berkenaan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan dilakukan susulan daripada pemeriksaan terhadap satu rakaman video oleh netizen yang tular di laman sosial tempoh hari berkaitan mee kari yang didakwa mengandungi daging babi.

“Ibu pejabat KPDNHEP Putrajaya serta beberapa cawangan KPDNHEP Selangor telah menghantar beberapa sampel yang mengandungi daging yang diambil dari restoran tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa.

“Hasil daripada analisa dan ujian makmal, didapati hanya unsur DNA ayam dikesan di dalam daging berkenaan dan tiada unsur DNA babi,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Tambah Iskandar, melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

KPDNHEP katanya akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal.

Ia bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang telah ditetapkan serta tidak sewenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan.

“KPDNHEP juga ingin menyeru kepada pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman media sosial.

“Ini boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” ujar beliau. — DayakDaily