KPDNHEP terima 62,449 aduan, kompaun lebih RM1.5 juta sepanjang PKP hinggga 3 Nov

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sejumlah 62,449 aduan di terima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 3 Nov lalu dengan 828 kes berjaya dihasilkan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan dalam tempoh itu sebanyak 4,655 tindakan kes telah berjaya dihasilkan melibatkan nilai rampasan bernilai RM60,657,836.

Katanya, sebanyak 3,418 kes turut dikenakan tindakan kompaun sepanjang tempoh tersebut dengan kutipan kompaun berjumlah RM1,506,152.


“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac 2020 sehingga 3 November lalu, sebanyak 469,946 pemeriksaan dan pemantauan premis perniagaan telah dilaksanakan berkaitan bekalan dan harga di peringkat runcit, pemborong dan pengilang.

“Sebanyak 256,007 Pemeriksaan Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP juga dilaksanakan di seluruh negara telah dilaksanakan dalam tempoh tersebut,” kata beliau ketika sesi soal jawab menteri (MQT) pada sidang Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, KPDNHEP sentiasa memantau dan meneliti kesan penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP ke atas perubahan harga barangan dan perkhidmatan bagi memastikan keberadaan (‘availability’) barangan keperluan harian di pasaran dan pengguna tidak ditindas oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan secara berlebihan.

“Ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran,gangguan terhadap rantaian pengedaran, bekalan dan keberadaan barangan telah mencetuskan kebimbangan pengguna terhadap kecukupan keperluan barangan harian semasa PKP telah membawa kepda pembelian panik.

“Justeru menyedari kepentingan ini, kementerian sentiasa proaktif meneliti perubahan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan akta-akta yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata orang ramai atau pengguna dapat menyalurkan aduan kepada kementerian menerusi opsyen seperti aplikasi WhatsApp, Portal E-Aduan, aplikasi Ez Adu, talian hotline KPDNHEP 1-800-886-800 dan hadir sendiri ke mana-mana pejabat atau cawangan KPDNHEP yang berhampiran dengan mereka. — DayakDaily