KPDNHEP sita minyak masak bernilai RM98,025

Seorang pegawai penguatkuasa KPDN memeriksa barang kawalan minyak masak dalam foto fail ini.

KUCHING, 29 Jan: Sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyita barang kawalan minyak masak berjumlah RM98,025 baru-baru ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, pasukan terbabit telah menjalankan pengauditan dan naziran barang kawalan berjadual ke atas sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi di Shah Alam, Selangor pada 27 Jan 2022.

“Hasil pengauditan dan naziran ke atas syarikat pembungkus barang kawalan berjadual berkenaan telah mendapati syarikat tersebut telah menyimpan minyak masak di premis lain daripada yang dibenarkan di dalam lesen syarikatnya.


“Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan, apa-apa barang kawalan di premis selain dari premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan serbuan telah menyita 37,360 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di dalam tangki serta 2,210 kilogram minyak masak pek polibeg 1kg dan dokumen berkaitan transaksi urus niaga barang kawalan berjadual minyak masak dengan nilai rampasan berjumlah RM 98,025.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat atau perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.

Katanya, KPDNHEP memandang serius kegiatan penyelewengan subsidi barang kawalan berjadual dan sentiasa bertindak tegas untuk mengekang ketirisan yang berlaku selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasar berkaitan.

Usaha-usaha untuk memerangi jenayah ini telah dilaksanakan secara berterusan termasuklah pengauditan rantaian pengedaran minyak masak dibuat secara intensif dan komprehensif bermula daripada pengilang, pembungkus, pemborong dan peruncit.

“Pihak KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan rakyat.

“Kementerian akan mengambil tindakan yang lebih tegas termasuklah menarik balik atau membatalkan lesen runcit dan borong pihak-pihak yg didapati terlibat termasuk syarikat pemegang kuota minyak masak bersubsidi,” ujarnya. — DayakDaily