KPDNHEP Sarawak terima aduan kenaikan harga minyak masak, teliti impak kepada pengguna

Stanley(kanan) ketika mengadakan tinjauan ke sebuah syarikat pembungkus minyak masak.

KUCHING, 16 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak ada menerima aduan berhubung kenaikan harga minyak masak di pasaran dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Menurut Pengarahnya Dato Stanley Tan, perkara ini perlu diteliti memandangkan ianya memberi impak ke atas kos sara hidup pengguna.

Sehubungan dengan itu kata Stanley, kementerian telah melancarkan Ops Catut 8.0 (TLD-Minyak Masak) bermula 9 Jun hingga 17 Jun 2021.

“Bermula 9 Jun 2021 sebanyak 28 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan bagi seluruh negeri Sarawak pada pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan OPS CATUT 8.0 2021.

“Ini untuk mendapatkan maklumat harga dan kos barangan di pelbagai peringkat perniagaan bagi mengesan sekiranya berlaku pencatutan atau mengambil keuntungan yang tidak munasabah,’katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa ini tambah Stanley, terdapat sebanyak 13 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negeri meliputi kawasan Kuching, Bintulu dan Miri dengan jumlah pengedaran sebanyak 3,917 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negeri Sarawak termasuk di kawasan luar bandar.

Manakala sebanyak 402 pemborong dilantik bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi terdapat di pasaran serta mudah diperolehi.

“Disamping itu, sebanyak 271 Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan 84 Pemborong Daerah Terpilih (DDW) telah dilantik bagi memastikan barang-barang keperluan asas termasuk minyak masak tidak terputus bekalan di pasaran,”ujar beliau.

Dalam kenyataan itu juga, Stanley berkata pihak Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari.

Ujarnya, penguat kuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.

“KPDNHEP Negeri Sarawak juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi.

“Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” tegas Stanley. — DayakDaily