KPDNHEP Sarawak keluar kompaun RM11,000 atas peniaga sepanjang perlaksaan SHMMP HRP 2021

Mogan Arumugam (tengah) ketika melaksanakan pemantauan harga barangan di pasaraya tempatan.

KUCHING, 21 Mei: Kompaun sebanyak RM11,000 dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak sepanjang perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2021 sejak 21 April lalu.

Ketua Pegawai PenguatKuasa KPDNHEP Sarawak Mogan Arumugam berkata, kompaun berkenaan melibatkat 92 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM14,750.40 hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 6,028 premis perniagaan  di seluruh negeri.

“Daripada 92 kes tersebut, sebanyak 76 kes diambil tindakkan kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

“Manakala masing-masing lapan kes  diambil tindakan kerana didapati menjual barangan melebihi harga maksimum barang harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan gagal mempamerkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual di bawah akta sama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SHMMP HRP 2021dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 12 jenis barang yang telah berkuatkuasa pada 21 April hingga 5 Mei melibatkan empat kategori barangan iaitu ayam, telur ayam, daging serta hasil laut.

Manakala bagi fasa kedua pula berkuatkuasa pada 6 Mei hingga 20 Mei melibatkan barangan harga terkawal terdiri daripada sayuran, barang kering dan hasil laut.

“Sepanjang tempoh tersebut, seramai 176 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 101 orang Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sarawak akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Mogan berkata, KPDNHEP Negeri Sarawak sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan dipasaran terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan.

Tegasnya, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 boleh diambil terhadap peniaga  sekiranya mereka didapati dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan.

Pada masa sama, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya. — DayakDaily