KUCHING, 11 Sept: Pematuhan peniaga dan pengusaha dalam prosedur operasi standard (SOP) sektor perdagangan pengedaran di Sarawak berada pada tahap yang memuaskan.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata, seramai 176 pegawai penguatkuasa yang berpakaian preman (tidak berpakaian seragam penguatkuasa) telah digerakkan untuk memantau pematuhan SOP berikutan pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau turut turun padang hari ini dalam menjalankan Ops Samar di sebuah pasaraya di Kuching bagi meninjau pematuhan dan penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akta 342.
“Sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dibuat oleh KPDNHEP Sarawak terhadap pematuhan SOP PKP Akta 342 digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 10 Sept 2021, sejumlah 55,068 premis telah diperiksa dan daripadanya, sejumlah 163 kes kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 494,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kompaun dikeluarkan serta merta setelah jelas terbukti pelanggaran SOP yang dilakukan.
Ia juga adalah sebagai mesej kepada peniaga dan pengguna tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP Sarawak dalam melaksanakan Ops Samar setelah program advokasi dan peringatan dilaksanakan sebelum ini.
Pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran ini merupakan satu usaha bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik negara.
Oleh itu, KPDNHEP mengingatkan bahawa pembukaan ini bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga dan pengguna tetapi ianya juga menuntut pertanggungjawapan dari semua agar pemulihan ekonomi negara dapat mencapai sasaran seiring dengan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Sebarang aduan daripada pengguna boleh disalurkan melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre 1800-886800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) 03-88826245/6088; talian 03-80008000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); WhatsApp ke 019-2794317; dan lapor atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP di seluruh negara. – DayakDaily