KPDNHEP: Pelaksanaan SHMP Deepavali 2021 di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri melibatkan 11 jenis barangan

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 27 Okt: Kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMP) Deepavali 2021 di empat daerah di Sarawak iaitu di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh kuat kuasa skim ini adalah daripada 1 sehingga 7 November 2021 iaitu selama tujuh hari.

Katanya, kementerian telah mengenal pasti 11 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMP Deepavali 2021.


ā€œJenis barangan yang ditentukan adalah barangan utama yang diperlukan semasa sambutan perayaan Deepavali 2021.

ā€œKesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambutnya, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran,ā€ katanya pada pengumuman di Putrajaya hari ini.

Senarai harga barangan harga terkawal bagi skim tersebut adalah ayam hidup, ayam ‘standard’ (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Turut di dalam senarai ialah cili merah, tomato, kelapa biji dan kelapa parut dengan harga maksimum di peringkat runcit sahaja.

Tambah Nanta, pelaksanaan skim tersebut dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga.

ā€œPelaksanaan kawalan harga maksimum ini tertumpu kepada memastikan harga barangan terpilih diperingkat pasar-pasar basah dan penjaja kecil terkawal kerana menjadi tumpuan pengguna berbelanja pada musim perayaan,ā€ katanya.

Nanta berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

ā€œKementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama membuat pemantauan untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi dan memastikan harga dipasaran adalah berpatutan.

ā€œDisamping itu, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membelibelah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan,ā€ ujar Nanta.

Perayaan Deepavali akan disambut pada 4 November 2021 di seluruh negara. ā€” DayakDaily