Yayasan Sarawak sumbang baucer bantuan kepada 565 pelajar di Simanggang

Harden (tiga dari kiri) menyampaikan baucer bantuan kepada salah seorang wakil sekolah.

KUCHING, 27 Okt: Seramai 565 pelajar di Simanggang mendapat manfaat daripada baucer bantuan pakaian seragam bernilai RM200 Yayasan Sarawak.

Ia melibatkan 270 pelajar daripada 11 buah sekolah rendah dan 295 pelajar daripada tiga sekolah menengah.

Penyampaian baucar bantuan itu telah disempurnakan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.


“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan agensi kerajaan seperti Yayasan Sarawak dalam membantu meringankan beban ibu bapa membiayai persekolahan anak-anak yang pada ketika ini berdepan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

“Pandemik ini menyebabkan ramai yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan,” kata Harden.

Tambah beliau, kerajaan amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam menghulurkan bantuan.

Katanya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang fokus memberi pembangunan sentiasa tidak melupakan kebajikan rakyat.

Turut hadir wakil Pengarah Yayasan Sarawak Haznetta Sarenau Howell dan Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Ashree Wee. — DayakDaily