KPDNHEP: Ops Catut 6.0 (Program Subsidi Petrol) turut dikuatkuasa di Sarawak

Mohd Hanizam (dua dari kanan) melakukan pemantauan harga kasut sekolah di Pasaraya Giant di Tabuan Jaya, Kuching hari ini (Dis 23, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 23: Sarawak tidak terkecuali dari pelaksanaan Ops Catut 6.0 yang bermula 1 Disember 2019 sehingga 30 Jun 2020.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek berkata, penguatkuasaan operasi tersebut perlu kerana ia memberi impak terhadap harga barang dan kos pengangkutan.

“Walaupun Sarawak tidak terlibat dengan Program Subsidi Petrol, kebanyakkan barang-barang keperluan diambil daripada Semenanjung Malaysia.

“Oleh yang demikian, ini secara tidak langsung boleh memberi impak terhadap kenaikan harga dan kos pengangkutan barangan yang dibawa masuk dari Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selesai pemeriksaan harga barangan terkawal sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Pasaraya Giant di Tabuan Jaya hari ini.

Enam kategori barangan yang dipantau dalam tempoh 7 bulan Ops Catut 6.0 ialah barangan makanan dan minuman, barangan isi rumah, tekstil, perabot, kasut dan barangan elektrik.

Menerusi Ops Catut, tambah Mohd Hanizam, peniaga sekali lagi diingatkan untuk tidak menaikkan harga dengan sesuka hati atau mengambil kesempatan untuk mengaut untung yang berlebihan dalam pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP).

Dalam pada itu, Mohd Hanizam dan pegawai-pegawai KPDNHEP turut melakukan pemeriksaan terhadap harga pakaian dan barangan sekolah.

“Pakaian sekolah turut disenarai di dalam tindakan penguatkuasaan pencatutan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kenaikan harga dan aktiviti pengambilan keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya.

Menurut beliau lagi, sebanyak 11 premis telah diperiksa di seluruh Sarawak dan sebanyak 45 barangan sekolah telah diperiksa sehingga kini.

Pemeriksaan harga bagi pakaian sekolah bermula dari 18 Disember 2019 sehingga 3 Januari 2020 di semua negeri dan cawangan. — DayakDaily