KPDNHEP akan ambil tindakan tegas terhadap peniaga ingkar SHMMP Krismas 2019

Mohd Hanizam (kanan) melakukan pemeriksaan harga terhadap ayam 'standard' yang disenarai di dalam SHMMP di Pasaraya Giant di Tabuan Jaya, Kuching hari ini (Dis 23, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 23: Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek berkata, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011.


“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selesai melakukan pemerikaan harga barang SHMMP Krismas di Pasaraya Giant di Tabuan Jaya hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan peniaga untuk sentiasa meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Jika gagal, tambah beliau, peniaga (individu) boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

Manakala bagi syarikat. katanya, kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

SHMMP Krismas 2019 berkuatkuasa dari 22 hingga 31 Disember 2019 dan sebanyak 19 jenis barangan telah dikenalpasti berbanding 16 barangan sebelum ini.

Ia termasuk cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan ubi kentang import (China).

“Penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga.

“Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga, kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011,” ujar Mohd Hanizam.

Barangan lain yang turut tersenarai ialah ayam hidup, ‘standard’, super, Belanda import, telur gred A, B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing dan bebiri import bertulang termasuk babi hidup, daging babi, perut dan lemak.

“Pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan melibatkan seramai 188 anggota penguatkuasa di seluruh Sarawak dan di Kuching sahaja ada 73 anggota penguatkuasa,” katanya. — DayakDaily