KPDNHEP mohon peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 — Nanta

Nanta berbual dengan pengunjung PJMKM di Balai Babuk Barum Bunan di Serian.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 18 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memohon peruntukan tambahan melebihi tahun 2022 pada Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi meneruskan program-program bantuan khususnya program Community Drumming bagi membantu penduduk di luar bandar.

Advertisement

“Kita memang sudah kemukakan kepada Kementerian Kewangan supaya KPDNHEP diberikan peruntukan di dalam Bajet 2023.

“Namun, saya tidak akan dedahkan secara terperinci berhubung jumlah peruntukan yang dipohon, itu masih sulit.

“Kita mohon penambahan peruntukan sebab kita dalam keadaan pemulihan ekonomi dan rakyat masih terkesan akibat pandemik Covid-19,” kata Nanta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Balai Babuk Barum Bunan di Serian hari ini.

Tambah beliau, menerusi program community drumming, kementerian membiayai kos pengangkutan untuk barang-barang keperluan ke lokasi-lokasi di kawasan luar bandar.

Katanya, seperti di kawasan yang jauh kos pengangkutan adalah tinggi dan harga barang pun tinggi jika tiada bantuan kerajaan.

“Oleh itu program community drumming yang diperkenalkan sejak 2009 sehingga hari ini telah banyak membantu rakyat.

“Bagi tahun hadapan, kita mohon peruntukan tambahan bagi meneruskan program ini.

“Sekarang ada lokasi lain yang tidak termasuk dalam senarai sebelum ini juga mahu terlibat.

“Dan ada juga lokasi-lokasi yang selama ini terlibat tetapi sudah ada jalan penghubung maka masalah pengangkutan tidak seperti dahulu, maka kita gugurkan.

“Kita pilih lokasi yang betul-betul memerlukan bantuan ini,” ujar Nanta sambil berkata peruntukan tambahan juga bagi membiayai program program bantuan yang lain. —DayakDaily

Advertisement