GPS sedia hadapi PRU15 bila-bila masa — Nanta

Nanta ketika ditemui di Serian.

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 18 Sept: Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini bersedia menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa.

Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan empat parti dalam GPS sememangnya bersedia sepanjang masa dan akan dipertingkatkan menjelang pilihanraya.


“Belum sampai setahun berlalunya pilihanraya negeri dan setiap masa GPS sentiasa bekerja dengan semua wakil rakyat berada di kawasan masing-masing.

“Itu bagi memastikan GPS kekal relevan dan menjalankan tugas untuk kita memastikan nasib dan hak rakyat terbela, itu janji kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Balai Babuk Barum Bunan di Serian hari ini.

Justeru tambah Nanta, GPS tiada masalah bagi menghadapi PRU15 kerana semua jentera pilihanrayanya sentiasa dalam keadaan sedia lebih-lebih selepas PRN yang lalu. — DayakDaily