KPDNHEP mendedahkan skim harga maksima untuk daging babi sempena Gawai Dayak

Senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan untuk daging perut babi dan daging dan lemak babi yang disiarkan KPDNHEP.

KUCHING, Mei 20: Daging babi dan ayam tua hidup antara barangan tersenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak 2020 yang akan mula dikuatkuasa dari 28 Mei hingga 3 Jun depan.

Senarai yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan harga runcit maksimum bagi bahagian lemak dan daging babi ialah RM18.50 sekilogram di Sarawak kecuali kawasan Limbang dan Lawas pada harga RM20.50 sekilogram.

Manakala di seluruh Sabah pula harga runcit maksimum lemak dan daging babi ialah RM20 sekilogram.


Harga runcit maksimum bahagian perut babi di Sarawak pula ialah RM19.50 sekilogram kecuali kawasan Limbang dan Lawas pada harga RM21.50 sekilogram.

Sementara itu, di Sabah pula harga runcit maksimum bahagian perut babi ialah RM22 sekilogram kecuali kawasan Wilayah Persekutuan Labuan pada harga RM23 sekilogram.

Ayam tua hidup pula harga runcitnya maksimumnya ialah RM7.90 sekilogram di Sarawak kecuali Kapit, Song, Belaga, Limbang dan Lawas pada RM8.70 sekilogram dan tiada harga maksimum runcit bagi ayam tersebut di Sabah.

Selain itu, KPDNHEP juga menyiarkan senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa yang akan bermula dikuatkuasakan hari ini sehingga 3 Jun depan. — DayakDaily