KPDNHEP: Harga dan bekalan telur ayam di pasaran stabil

KPDNHEP berkata ia hasil pemantauan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam di seluruh negara. Foto Fail

KUCHING, 25 Ogos: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kuantiti pengeluaran dan keberadaan telur ayam di pasaran adalah stabil.

Menerusi kenyataan hari ini, KPDNHEP berkata ia hasil pemantauan ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam di seluruh negara.

“Berdasarkan syarikat yang diperiksa, anggaran pengeluaran telur ayam dalam sehari adalah sejumlah 34 juta dan ianya mampu menampung keperluan harian rakyat 4 Malaysia yang dianggarkan penggunaan sejumlah 30 juta sehari.

“Kestabilan keberadaan bekalan telur ayam turut mempengaruhi kepada kestabilan harga runcit telur ayam di pasaran,” katanya.

KPDNHEP dalam pada itu telah melaksanakan penguatkuasaan OPS PASAR (Telur Ayam) sejak 2 Ogos 2021 dan OPS RANTAI (Makanan Ternakan Ayam) sejak 11 Ogos 2021 di samping Pegawai Pemantau Harga (PPH).

Ops tersebut melakukan pemantauan harga setiap hari sebagai pendekatan bagi memastikan pergerakan harga runcit ayam dan telur ayam tidak menekan pengguna dan memastikan pasaran sentiasa kompetatif.

“Penguatkuasaan OPS PASAR telah memberi fokus kepada 3 sasaran utama telur ayam iaitu gred A, gred B dan gred C.

“Pemeriksaan mengambil kira semua rantaian termasuk peringkat pengeluar, penternak, pemborong dan peruncit,” katanya.

Sepanjang penguatkuasaan OPS PASAR tambah KPDNHEP, sebanyak 136 premis telah diperiksa yang melibatkan 41 premis pengeluar telur dan 95 premis pemborong.

Daripada itu, sejumlah 136 Notis Pengesahan Maklumat 2 Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan kepada pengeluar dan pemborong untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan peningkatan harga yang berlaku di peringkat peruncit.

“Hasil pemantauan juga mendapati harga purata runcit telur ayam berada pada kedudukan yang stabil iaitu harga semasa pada 23 Ogos 2021 bagi gred A adalah pada harga RM0.44 (sebiji), gred B RM 0.40 (sebiji) dan gred C RM0.36 (sebiji).

“Perlu diketahui, harga runcit telur ayam yang dijual dalam kuantiti 30 biji lebih menjimatkan berbanding yang dijual dalam kuantiti 10 biji. Oleh itu, pengguna digalakkan membuat pilihan bijak,” kata KPDNHEP. — DayakDaily