Kerajaan import bekalan telur daripada negara sumber – Mat Sabu

Mohamad Sabu

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 6 Dis: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, ia sebagai langkah bagi menampung keperluan pasaran tempatan pada harga yang lebih rendah.

Menurut beliau, ia antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula selepas bekalan tempatan kembali stabil.

” Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad, Ketua Setiausaha kementeriannya juga sudah diarah menilai kesan import terhadap industri telur ayam tempatan.

Agrobank pula akan mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini.

“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.

“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas mesyuarat pertama Kabinet memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan Mohamad dan akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih rendah, hari ini.

Anwar berkata, langkah terbabit diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kartel. — DayakDaily