KPDNHEP: Harga ayam di Sarawak terkawal

Menteri KPDNHEP Datuk Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) ketika mengadakan pemeriksaan harga ayam di sebuah premis di Kuching baru-baru ini. Gambar fail KPDNHEP

KUCHING, 6 Julai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga jualan ayam di pasaran di seluruh negeri.

Ini berikutan isu terkini yang tular di media sosial berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran di Semenanjung Malaysia.

Justeru, KPDNHEP Sarawak telah mengambil tindakan proaktif untuk menanganinya supaya tiada berlakunya kenaikan harga ayam di pasaran seluruh negeri Sarawak.

ā€œSejumlah 183 anggota pegawai penguatkuasa yang merangkumi sebanyak sembilan cawangan KPDNHEP di seluruh negeri Sarawak telah berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan tersebut.

ā€œKPDNHEP Sarawak turut mempertingkatkan pemantauan harga melalui sejumlah 102 pegawai pemantau harga yang menjalankan pemantauan harga ayam yang sememangnya merupakan keperluan asas di seluruh Sarawak,ā€ menurut KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa berdasarkan kutipan harga Bahagian Majlis Harga Negara (BHBN) KPDNHEP Sarawak, harga jualan ayam bersih ‘standard’ (1kg) bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 ialah diantara RM6.90 hingga RM8.50 sekilogram.

Semasa tempoh PKP hingga tempoh PKPP, harga ayam ialah RM6.90 hingga RM8.50 sekilogram dimana harga tersebut adalah pada aras normal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan.

ā€œBahkan pula, pemantauan harga pada 5 Julai 2020 mendapati terdapat dua pasaraya di Kuching iaitu Pasaraya Emart Tabuan Jaya dan Pasaraya H&L Aiman Mall, Kota Samarahan yang menjual ayam bersih ‘standard’ dengan harga bawah aras normal iaitu RM4.99 sekilogram dan RM4.89 sekilogram,ā€ menurut kenyataan itu.

KPDNHEP turut memaklumkan bahawa sehingga 5 Julai 2020, sebanyak 57 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan terhadap rantaian pembekal ayam iaitu diperingkat runcit, pembekal dan peladang.

Manakala 42 notis telah dikeluarkan kepada peniaga ayam di pasar awam, 10 notis kepada pembekal dan lima notis kepada peladang.

Sepanjang tempoh PKP sehingga ke PKPP, menerusi semakan dalam sistem e-Aduan, KPDNHEP Sarawak tidak menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran daripada orang awam.

Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga dengan tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian ‘hotline’ kementerian di 1-800-886-800 atau portal e-Aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian WhatsApp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil. ā€” DayakDaily