KPDNHEP: Bekalan barang keperluan mencukupi, elak pembelian panik

Anggota penguatkuasaan KPDNHEP melakukan pemantauan pematuhan SOP di pasaraya.

KUCHING, 29 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi semasa fasa lockdown ini.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan pengumuman kerajaan yang memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘Total Lockdown’.

Fasa Pertama ‘Total Lockdown’ itu dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.


“Sepertimana pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang tidak merekodkan sebarang kes bekalan barangan keperluan asas terputus, Kementerian yakin dan memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi semasa fasa lockdown ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu tambah Nanta, KPDNHEP ingin menyeru kepada semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh Penguat Kuasa Kementerian setiap hari bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya peniaga dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan melalui kawalan kendiri.

“Pengguna hendaklah sentiasa mengikuti SOP serta tidak melakukan pembelian panik supaya bekalan barang keperluan asas di seluruh negara terus berada pada tahap stabil dan mencukupi,” ujar Nanta.

Dalam pada itu, Nanta turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan OPS HAD 2J ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Walau bagaimanapun katanya, SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 meningkat,” tegas Nanta. — DayakDaily