KPDNHEP: 86.20% peniaga patuh harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19

Pegawai Penguatkuasa melakukan pemeriksaan terhadap bekalan RTK Antigen (ujian kendiri) di farmasi di Sri Aman
Advertisement

KUCHING, 11 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sejumlah 606 premis atau 86.20 peratus patuh kepada harga maksimum yang ditetapkan untuk penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19.

Jumlah tersebut adalah daripada 703 pemeriksaan ke atas 46 premis borong dan 657 premis runcit meliputi farmasi dan fasiliti kesihatan di seluruh negara setakat 9 Sept 2021.

“Selain itu, 36 premis atau 5.12 peratus jual di bawah paras harga maksimum ditetapkan.

Advertisement

“Walau bagaimanapun, terdapat 28 (3.98 peratus) premis yang masih gagal membuat persediaan mematuhi perintah harga maksimum yang diumumkan.

“Pemeriksaan turut mengenal pasti 33 (4.69 peratus) premis sahaja yang tidak menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 dan situasi ini tidak menjejaskan prestasi keberadaan bekalan kit ujian pantas antigen Covid-19 kerana secara keseluruhannya bekalan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP telah menguatkuasakan Harga Maksimum Borong dan Runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 di atas keperluan memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di pasaran dapat memanfaat pengguna dan peniaga.

Arahan pemeriksaan pematuhan harga maksimum dan keberadaan bekalan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) telah dilaksanakan bermula 5 Sept 2021 di seluruh negara.

Pemeriksaan memfokuskan kepada pematuhan harga maksimum yang ditetapkan, penandaan harga dan petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga.

Bagi pemeriksaan di peringkat awal ini, KPDNHEP telah membenarkan tempoh selama tujuh hari bermula 5 Sept 2021 bagi tarikh mula kuatkuasa harga maksimum kit ujian pantas antigen COVID-19 untuk memberi kelonggaran kepada peniaga membuat penyelarasan harga jual.

Pada masa yang sama, peniaga turut diberi peringatan bahawa selepas tamat tempoh kelonggaran, tindakan tegas akan dilaksanakan ke atas peniaga sekiranya gagal mematuhi peruntukan di bawah AKHAP 2011.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti di bawah kesalahan menjual melebihi harga maksimum.

Bagi individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.

Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

KPDNHEP juga menyarankan para pengguna membuat pembelian alat peranti kesihatan di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan/Malaysia Device Authority (MDA) pada pautan https://mdar.mda.gov.my/frontend/web/index.php?r=carian%2Findex&Com pletedApplicationAllmdrSearch%5BglobalSearch%5D=Pulse+oximeter https://portal.mda.gov.my/. – DayakDaily

Advertisement