KPDNHEP: 15 inisiatif di bawah Permai bantu komuniti perniagaan

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 19 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, 15 daripada 22 inisiatif di bawah Permai disediakan bertujuan untuk menyokong kelangsungan ekonomi komuniti perniagaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KPDNHEP komited untuk terus membantu meringankan beban peniaga, terutama pemain industri dalam sektor perdagangan dalam negeri.


“Pengumuman Muhyiddin bagi menambahbaik Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020 dengan melanjutkan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac 2021 amat dialu-alukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, penerusan pelaksanaan moratorium ini yang meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit, akan dapat terus dimanfaatkan oleh golongan yang terjejas.

Katanya, ia melibatkan golongan B40, M40 dan perusahaan mikro yang gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

Pada masa yang sama, ujar beliau, KPDNHEP juga akan meminda beberapa akta di bawah seliaan kementerian ini yang bertujuan untuk menambahbaik mekanisme penyelamat dan rehabilitasi bagi syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah kewangan.

“Manakala bagi membantu komuniti perniagaan, KPDNHEP melalui Program Prihatin Pandemik Covid-19 KPDNHEP bertemakan “Kurangkan Kesan, Rancakkan Perniagaan”, akan melaksanakan 29 inisatif bersasar.

“Antaranya meliputi kategori berbentuk moratorium dan kategori bagi membantu merancakkan ekonomi,” ujar beliau.

Jelas Nanta lagi, kesemua inisiatif yang akan dilaksanakan oleh KPDNHEP adalah bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik, di samping memudahcara proses kerja selaras dengan keperluan norma baharu di era pasca Covid-19 ini. — DayakDaily