Kos pengangkutan dari Long San ke Miri mahal

Keadaan jalan balak menuju ke beberapa penempatan di Ulu Baram.
Advertisement

LONG SAN, 24 Mac: Penduduk di Long San, Ulu Baram berharap jalan balak yang menghubungkan penempatan mereka ke Pekan Lapok dinaiktaraf menjadi jalan berturap.

Jalan tersebut merupakan satu-satunya jalan penghubung bagi penduduk di Ulu Baram untuk ke Bandaraya Miri.

Akibat keadaan jalan yang berbatu-batu dan berlubang, ia hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda (4WD) serta lori.

Advertisement

Justeru, kos untuk ke Bandaraya Miri bagi tujuan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, melanjutkan pelajaran mahupun mendapatkan keperluan harian adalah sangat mahal.

Menurut seorang penduduk Long San Edward Erang, 52, tambang bagi seorang untuk ke Bandaraya Miri menggunakan perkhidmatan pengangkutan kereta 4WD ialah RM110 sehala.

Edward Erang ketika ditemui di rumah beliau di Long San.

“Kalau pergi balik, tambang adalah RM220 untuk seorang. Ini belum lagi jika 2 atau 3 ahli keluarga lain yang Ikut serta.

“Kalau Carter satu kereta 4WD untuk 4 orang tambang adalah melebihi RM500 untuk perjalanan sehala,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Long San, Ulu Baram pada semalam.

Tambah Edward yang merupakan pengusaha Home Stay Wedgwood Inn di Long San, terdapat juga perkhidmatan kapal terbang 3 kali seminggu ke Miri.

Katanya, tambang penerbangan ke Miri dari Long San yang dijadual pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat adalah RM104 seorang.

“Maka penduduk di kawasan Ulu Baram ini sangat berharap agar jalan balak ini dinaiktaraf menjadi jalan berturap.

“Mungkin setelah dinaiktaraf nanti, penduduk dapat membeli kereta sendiri dan memudahkan pergerakan ke Miri,” kata Edward.

Penempatan lain yang terdapat di Ulu Baram ialah Long Selatong, Long Selaan, Long Semiyang, Long Tungan, Lio Mato, Long Banga dan Long Peluan.

Kini, tempoh perjalanan(jalan balak) menggunakan kereta 4WD dari Long San ke Lapok dengan purata laju 50 kilometer sejam adalah 3 jam.

Manakala dari Pekan Lapok ke Bandaraya Miri 2 jam. — DayakDaily

Advertisement