Koperasi FELCRA Pulau Seduku terima bangunan bagi tujuan perniagaan

Rubiah ketika berucap semasa lawatan ke Kampung Pulau Seduku. Foto: UKAS

KUCHING, 4 Feb: Koperasi Peserta FELCRA Kawasan Batang Lupar Berhad hari ini menerima bangunan lima unit premis perniagaan di bawah Projek Agropolitan Pulau Seduku.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, ia adalah salah satu kompenan daripada program penempatan semula Penduduk Kampung Seduku Melayu.

“Dalam pada itu, Kementerian telah bersetuju meluluskan peruntukan di bawah FELCRA Berhad bagi Baik Pulih Bangunan Premis Perniagaan Kampung Agropolitan Seduku Melayu berjumlah RM90,000.


“Naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Agropolitan Seduku Melayu berjumlah RM100,000,” katanya semasa lawatan ke Kampung Seduku Melayu pada Khamis.

Menurut Rubiah, Kampung Seduku merupakan kampung penempatan semula yang mana lokasi asalnya ialah di sebuah ‘pulau’ yang berada di tengah-tengah sungai Batang Lupar.

Katanya, perpindahan penduduk dibantu dengan penyediaan beberapa kemudahan dan lain-lain manfaat kepada penduduk di penempatan yang baru dengan jumlah peruntukan lebih RM68 juta. — DayakDaily