Koperasi di Sarawak di saran ceburi sektor industri asas tani

Ewon (tiga kiri) menyampaikan mock cheque kepada wakil Koperasi Kampung Pichin Serian Berhad

KUCHING, 16 Mei: Gerakan koperasi di negeri Sarawak di saran supaya terlibat di dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia agar sektor tersebut boleh menjadi tulang belakang dalam menghasilkan bekalan makanan di dalam negara amnya dan Sarawak khasnya.

“Sebagai contoh Koperasi Sungai Kapit mahu menternak ayam dengan jumlah besar, ini menunjukkan ada sambutan dari koperasi kita.


“Mereka menyahut seruan kerajaan membekal makanan kepada negara kerana kita tahu kenaikan sara hidup.

“Harga barangan naik dan ini menjadi satu isu yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Koperasi Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seminar anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Sarawak berlangsung 2 hari mulai 15 Mei dan telah dihadiri seramai 112 peserta dari 56 koperasi dari seluruh negeri.

Menurut Ewon, koperasi boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada isu bekalan makanan.

“Oleh itu Koperasi harus menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan ini, berkaitan bekalan dan jaminan keslematam makanan,” ujar Ewon.

Dalam majlis yang sama, Ewon turut menyampaikan mock cheque Geran Bantuan Pembangunan Koperasi kepada Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad sebanyak RM20,000.

Koperasi Kampung Pichin Serian Berhad menerima RM5,000, Koperasi Mantung Marau Serian Berhad (RM50,000), Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad (RM60,000), Koperasi Kampung Melayu Tebakang Serian Berhad (RM60,000) dan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kuching No.1 Berhad (RM60,000).

Manakala Koperasi KOPPES Sarawak Berhad menerima Pembiayaan TMP-SKM sebanyak RM3 juta. — DayakDaily