Usahawan Bumiputera Sarawak Sabah dapat RM10 juta bagi Program Peningkatan Enterpris Bumiputera Plus

Ewon (kiri) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 1 Okt: Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak menerusi Mikro Madani dengan peruntukan RM10 juta kini dibuka kepada usahawan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah satu berita baik kepada usahawan kedua-dua negeri sebelum Bajet 2024 dibentangkan Perdana Menteri pada 13 Oktober ini.

“Peruntukan RM10 juta yang disediakan SME Corp Malaysia di bawah Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


“Usahawan di Sabah dan Sarawak kini boleh memohon secara atas talian,” katanya di Perasmian Kampus Institut Keusahawanan Negara (ISKEN) Sarawak hari ini.

Bagi Bajet 2024, Kementerian kata Ewon telah mengemukan 50 cadangan inisiatif dengan peruntukan melebihi RM700 juta kepada kerajaan.

Katanya, pada tahun 2023 pihak Kementerian mendapat peruntukan sebanyak RM732 juta.

“Hanya Perdana Menteri sahaja tahu jumlah yang kita pohon, namun ia adalah melebihi jumlah diterima pada 2023.

“Sebanyak 54 cadangan inisiatif Kementerian diperolehi daripada pandangan pemegang taruh di seluruh negara dan saya yakin kita akan diberi jumlah yang dipohon,” ujar Ewon.

Berhubung Kampus Insken Sarawak, Ewon berkata ia menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk usahawan.

Antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Setakat bulan Ogos 2023, INSKEN berjaya melatih seramai 7,418 usahawan dan telah melebihi sasaran pada tahun 2023. — DayakDaily