Kontena ditinggalkan tepi jalan mengandungi rokok benilai RM790,000

Advertisement

BINTULU, 17 April: Sebuah kontena ditinggalkan di tepi jalan didapati mengandungi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM790,000, hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata anggotanya dari Unit Risikan Marin Bintulu telah membuat intipan selama dua jam ke atas kontena tersebut yang diletakkan di tepi jalan Sibiyu Industrial Estate, Jalan Bintulu-Tatau.

Katanya, pemeriksaan sekitar jam 4 pagi itu menemui 105 kotak rokok yang dipercayai tiada cukai Kastam.

Advertisement

“Rokok yang ditemui di dalam kontena tersebut ialah rokok jenis Iscore Max sebanyak 40,000 batang dengan nilai RM30,000, rokok Luffman Premium Blend Merah, 10,000 batang dianggarkan bernilai RM7,500.

“Manakala rokok Luffman Premium Blend Biru adalah yang paling banyak iaitu sebanyak 1 juta batang dianggarkan bernilai RM750,000 dan nilai keseluruan rampasan termasuk kontena adalah RM790,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, tiada tangkapan dibuat sepanjang operasi kerana tiada pemilik yang datang menuntut atau mengaku kontena tersebut.

Semua rampasan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily

Advertisement