Tiga ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di Kuching

Gambar komposit pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi.

KUCHING, 17 April: Seramai tiga lelaki ditangkap kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk di Jalan Simpang Tiga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata ketiga-tiga lelaki terbabit berusia lingkungan 20 hingga 30an dan hasil ujian menggunakan alat ‘Evidential Breath Analyzer’ juga disahkan positif alkohol.

Katanya, mereka kemudian disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak lebih lima tahun serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga lima tahun,” kata Ahsmon dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan dari jam 11 malam hingga 2.30 pagi dan seramai 90 orang serta 81 buah kenderaan diperiksa.

“Sebanyak 15 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, gagal tunjuk lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada pamer ‘P’, ubahsuai struktur kenderaan dan ubahsuai ekzos,” katanya.

Operasi tersebut diketuai Inspektor Russell Stetson Junner dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Kuching. — DayakDaily