Komuniti Penan Long Leng catat sejarah tersendiri, sertai PBS

Dennis Ngau (berdiri tengah) merakam gambar bersama anggota PBS Long Leng, Baram.

BARAM, Dis 16: Masyarakat dari Kampung Long Leng, Sungai Layun Baram dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi komuniti Penan pertama di Sarawak yang menyertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, terdapat seramai 25 penduduk tempatan dari Long Leng telah menyertai PBS yang dilancarkan Khamis.

Menurutnya, tujuan penubuhan PBS di kawasan tersebut dilakukan bagi menggalak penduduk-penduduk setempat untuk mengambil tindakan awal jika berlaku kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.


Anggota bomba memberi tunjuk ajar kepada anggota PBS Long Leng, Baram.
Anggota bomba menunjukkan cara-cara memadam api di Long Leng, Baram.

“Kita yakin PBS terlatih yang dianggotai penduduk kampung itu sendiri boleh digerakkan lebih cepat jika berlaku sebarang kejadian kebakaran.

“Ini kerana kebiasaannya, kedudukan rumah panjang dan kampung lazimnya agak jauh dari balai bomba.

“Apabila berlaku kebakaran, anggota bomba mengambil masa agak lama untuk tiba di tempat kejadian dan akan menyebabkan kebakaran yang memusnahkan banyak harta benda,” katanya.

Pegawai bomba menunjukkan cara mengendalikan hos memadam api di Long Leng, Baram.

Dennis menambah, bagi mengelakkan sebarang kejadian kebakaran berlaku, adalah tepat bagi penghuni rumah panjang atau kampung sendiri yang memikul tugas sebagai bomba.

Jelasnya, tindakan pantas perlu diambil jika berlaku kebakaran, sekali gus menyelamatkan nyawa serta mengelakkan kemusnahan harta benda yang banyak.

Kanak-kanak tidak melepaskan peluang bergambar dengan pegawai bomba di Long, Leng, Baram.

“Saya yakin Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sedia memberi latihan supaya anggota PBS dilengkapi kemahiran memadamkan api dan menyelamatkan nyawa.

“Langkah-langkah pencegahan kebakaran juga amat penting untuk dipelajari para penghuni rumah panjang agar kes-kes kebakaran rumah panjang dapat dikurangkan,” katanya lagi. — DayakDaily