KM: Ramai muka baru ditampilkan sebagai calon BN kerana Sarawak menuju ke arah digital

Abang Johari (empat dari kiri) menerima cenderahati dari Wan Junaidi (dua dari kanan) selepas merasmikan pelancaran Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak, di Dataran MJC, Batu Kawah.

KUCHING, April 24: Sarawak yang sedang menuju ke arah digital dan pengunaan teknologi baharu menjadi sebab sehingga seramai 15 muka baru ditampilkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian bagi menjelaskan sebab BN Sarawak menampilkan muka baru yang ramai golongan muda dan hanya mencalonkan semula seramai 16 muka lama pada pilihanraya terbabit bagi merebut keseluruhannya 31 kerusi Parlimen negeri ini.

“Sekiranya ada kamu (rakyat Sarawak) bertanya kenapa banyak sangat muka baharu (sebagai calon BN di Sarawak), ini adalah kerana kita sedang pergi ke arah digital dan semuanya kini mengunakan teknologi baharu,” katanya ketika Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak, di Dataran MJC, Batu Kawah, di sini, hari ini.


Abang Johari berkata pengunaan teknologi baharu dan digital semakin meluas di Sarawak terutama digunakan golongan muda sehingga majlis tersebut yang dilancarkannya bukan sahaja mempunyai skrin digital yang besar malahan juga sudah dapat disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook.

Disamping itu, beliau menjelaskan pencalonan presiden SUPP Professor Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai calon BN muka baharu di kerusi Parlimen Stampin adalah kerana sikapnya yang kuat bekerja dan mampu memberi banyak sumbangan kepada negeri ini.

“Dr Sim adalah kuat bekerja, malam tidak tidur, siang pun tidak tidur, isteri pun ditinggal kerana rakyat. Beliau seorang doktor bedah, jadi beliau mahu membedah Sarawak supaya semakin kuat jantung Sarawak,” katanya.

Manakala pencalonan semula Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kerusi Parlimen Santubong adalah kerana pengalaman luasnya sebagai wakil rakyat dan menteri kerajaan pusat.

“Wan Junaidi banyak pengalaman sebab itu kita mahu dia kekal di Parlimen Santubong. Beliau hingga dikenali sebagai menteri yang menjaga buaya, tetapi yang penting pengalamannya dapat kita gunakan,” katanya.

Selain itu, Abang Johari memuji keberanian calon wanita BN bagi kerusi Bandar Kuching, Kho Teck Wan, 42, dari SUPP kerana mahu bertanding di kerusi terbabit yang disandang ketua pembangkang di negeri ini.

“Seorang wanita SUPP memilih bertanding di kerusi Bandar Kuching, beliau seorang yang amat berani dan menjangka akan berlawan di kerusi itu dengan ketua Pakatan Harapan (di Sarawak),” katanya.

Katanya Kho sudah bersedia berlawan merebut kerusi Parlimen Bandar Kuching, namun ketua pembangkang terbabit pula tiba-tiba seakan-akan lari kerana telah memilih bertanding di kerusi Parlimen Stampin yang akan ditandingi Dr Sim.

“Jangan bimbang Dr Sim, kita akan berjuang bagi kamu kerana SUPP parti tempatan dan parti beliau (ketua pembangkang di negeri ini) pula dari Semenanjung yang sebelum ini cuba bertapak di Johor tetapi tidak jadi, dan akhirnya berkelahi sesama sendiri,” katanya.

Katanya parti pembangkang dari Semenanjung lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga berkelahi sesama sendiri dan sepatutnya tidak layak mengajar penduduk negeri ini cara berpolitik.

“Kalau parti terbabit mahu mengajar penduduk negeri ini berpolitik…jauh Pak Awi…kita ada kualiti (berpolitik) kita sendiri di Sarawak ini,” katanya, sambil menambah penduduk negeri ini lebih mahu berpolitik secara bekerjasama bagi membangunkan ekonomi tanpa mengira bangsa, agama dan mahupun latar belakang. — DayakDaily