Program Sejiwa Senada singgah di Meradong, Bintangor dan Bekenu

Orang ramai menghadiri Program Sejiwa Senada di Sarikei.

KUCHING, April 24: Program Sejiwa Senada akan berada di Meradong, Bintangor pada April 28-29 dan di Bekenu pada Mei 1-2 ini.

Di Meradong, ianya akan di adakan di Gelanggang Bola Keranjang manakala di Bekenu program itu akan diadakan di kawasan letak kereta di Pusat Transformasi Luar Bandar Sibuti (RTC) dekat pekan Bekenu.

Kenyataan media dari Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri menyatakan Program Sejiwa Senada tersebut merupakan salah satu initiatif Kerajaan Negeri untuk mendekati dan memahami kehendak rakyat melalui aktiviti turun padang dengan mempamerkan pelbagai bentuk pembangunan yang telah dilaksanakan.


Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan program itu di Meradong pada April 29 dan akan ke Bekenu pada Mei 1 untuk majlis yang sama.

Sementara itu dalam buku program, Ketua Menteri berkata beliau akan terus menyambung dasar, initiatif dan pelan tindakan yang telah dirancang oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem selain melaksanakan initiatif baharu seperti Ekonomi Digital, Petros, DBOS, Transformasi Pertanian dan initiatif-initiatif lain.

Sarawak perlu berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih daripada aktiviti economy khasnya daripada projek-projek strategik, kata beliau.

Ini penting dalam memastikan ekonomi Sarawak akan melonjak tinggi pada tahun 2030, tambahnya.

Program Sejiwa Senada merupakan satu platform Pusat Sehenti bagi kerajaan untuk menyediakan pelbagai produk, khidmat nasihat, dan aktiviti sampingan seperti sukan dan rekreasi dan Sarawak Kitchen.

Program ini juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi ‘feel good factor’ di kalangan rakyat supaya mereka mempunyai keyakinan yang mendalam terhadap usaha kerajaan dalam membawa pembangunan dan meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat.

Melalui program Sejiwa Senada ini kerajaan berharap akan mengeratkan jaringan kerjasama rakyat dengan kerajaan serta mengekalkan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian dalam negeri.

Sebanyak 30 gerai akan dibuka untuk mempamerkan pelbagai bentuk pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat.

Rakyat yang dekat dengan Meradong dan Bekenu adalah dijemput datang beramai-ramai untuk mendapatkan peluang untuk melihat sendiri apa yang terdapat di Program Sejiwa Senada disamping berhibur dengan artis peopular dan menikmati pelbagai juadah yang dijual di Sarawak Kitchen. — DayakDaily