KKM: Semua penerbangan MH dari India adalah penerbangan kargo

File photo for illustration purposes only.

KUCHING, 3 Mei: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyangkal dakwaan bahawa  kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda adalah menerusi Malaysia Airlines (MH).

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM menjelaskan anggapan itu salah sama sekali dan semua penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo.

Semalam, ramai yang memviralkan mengenai status empat penerbangan Malaysia Airlines daripada India yang tiba di KLIA.


“Dalam satu kenyataan media pada 3 Mei 2021, Menteri Pengangkutan menyatakan, selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa pada 28 April 2021, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini,” kata KKM.

Berhubung mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1, KKM berkata bahawa individu tersebut telah masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021.

Kes dikesan positif Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama dan telah diasingkan serta sedang menerima rawatan.

Tambah KKM lagi, Malaysia telah mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April. 2021 berikutan penularan varian B.1.617.1 yang semakin membimbangkan. — DayakDaily