KKM: Satu kes baharu polio dilapor di Sabah

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, MAC 10: Satu kes baharu Polio melibatkan kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 3 tahun di Sandakan, Sabah dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes ini telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia pada 5 Mac 2020.

“Kanak-kanak tersebut telah mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari 2020 dan telah dirawat di hospital dan kini berada di dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan media.

Dengan kes terbaharu ini, empat kes polio telah disahkan di Sabah setakat 8 Mac 2020.

Menurut Dr Noor Hisham, kesemua kes telah disahkan polio oleh Makmal Rujukan WHO di Australia.

Katanya, empat kes yang disahkan polio ini melibatkan kanak-kanak berumur 3 bulan dari Tuaran, 3 dan 8 tahun dari Sandakan serta 11 tahun dari Kinabatangan.

“Hanya satu kes yang masih dirawat di hospital iaitu kanak-kanak berumur 3 bulan dari Tuaran.

“Beliau berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Tiga daripada empat kes ini merupakan bukan warganegara, yang tidak pernah menerima vaksin polio,” ujar Dr Noor Hisham lagi.

Sebagai langkah pencegahan tambah beliau, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneruskan semua aktiviti kawalan wabak polio di Sabah.

Katanya, Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) yang bermula semenjak 27 Disember 2019 secara berperingkat diteruskan.

Kempen yang melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh negeri Sabah.

Sehingga 8 Mac 2020, seramai 517,038 orang kanak-kanak dibawah umur 13 tahun telah diberi vaksin bOPV dos pertama, manakala 206,972 orang kanak-kanak telah menerima vaksin bOPV dos kedua.

Pemberian vaksin mOPV2 akan bermula pada pertengahan bulan Mac 2020 kelak.—DayakDaily