Bayi berusia tiga bulan yang dijangkiti virus polio stabil

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, Dis 16: Bayi berusia tiga bulan di Sabah yang dijangkiti virus polio berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan hospital.

Kes jangkitan tersebut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 8 Disember lepas setelah 27 tahun Malaysia bebas dari virus polio.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan media bertarikh semalam berkata kes itu melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah.


“Bayi tersebut masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dan berada dalam keadaan stabil serta masih diberi bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan KKM.

Katanya, sejak kes polio tersebut dikesan seminggu yang lepas, tiada kes baru polio dilaporkan sehingga kini.

“Aktiviti pengesanan kes-kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) yang menunjukkan gejala seakan-akan poliomyelitis di kawasan sekitar tempat tinggal kes sedang diperluaskan ke kawasan berhampiran dan kawasan berisiko.

“Seramai 1,553 orang telah diperiksa, dan tiada yang bergejala AFP dikesan,” ujar beliau.

Di samping itu, KKM menurut Dr Noor Hisham telah mengambil sampel najis daripada 20 orang kontak rapat bayi tersebut untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Tambah beliau, aktiviti pemberian imunisasi untuk kanak-kanak yang tercicir imunisasi di kawasan tempat tinggal kes dan kawasan berhampiran turut dilaksanakan.

“Sehingga 14 Disember 2019, seramai 59 orang kanak-kanak berumur 2 bulan hingga 15 tahun di kawasan tersebut yang tercicir imunisasi telah diberikan vaksin polio.

“Bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan, aktiviti imunisasi tambahan akan diberikan kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah secara berperingkat,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata enam loji rawatan air kumbahan terpilih di Sabah bebas dari virus polio liar hasil ujian yang dilakukan pada sampel air kumbahan.

Beliau menegaskan bahawa cara terbaik untuk mencegah penyakit polio adalah melalui imunisasi.

Justeru, ibu bapa diseru untuk memastikan anak-anak yang telah tercicir imunisasi dibawa ke Klinik Kesihatan yang berhampiran. — DayakDaily