KKM sah kes polio pertama 6 Disember lepas setelah kes terakhir pada 1992

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 9 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan satu kes jangkitan virus polio di Malaysia, iaitu setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

“Bayi telah mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital.

“Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Beliau telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember 2019,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Noor Hisham, hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) iaitu di makmal polis wilayah Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetic dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis(AFP) di negara Filipina.

Seterusnya, VDPV1 ini diklasifikasikan sebagai ‘circulating vaccine-derived poliovirus type 1’(cVDPV 1).

Ujar Noor Hisham lagi, cVDPV berasal daripada virus polio yang telah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral dan virus yang dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis.

“Dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.

“Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti tersebut, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif,” katanya.

Di samping itu Noor Hisham juga memaklumkan yang virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis.

Namun begitu tambah beliau, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut.

Sehingga 5 Disember 2019 katanya lagi, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah ini mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) yang berumur di antara 2 bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa kesemua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio,” ujar Noor Hisham.

Beliau menasihati penduduk agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak KKM sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian yang tidak mendapatkan rawatan.

Untuk makluman, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada tahun 1992.

Pada Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat telah diisyhtiharkan bebas daripada penyakit polio.

Kejayaan pembasmian penyakit ini adalah berikutan pencegahan melalui vaksin polio yang diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini. —DayakDaily