KKM sahkan satu kematian disyaki akibat difteria di Miri

Maklumat tentang difteria.

KUCHING, Mac 16: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan terdapat satu kes kematian disyaki akibat difteria di Miri pada Mac 14 lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berumur dua tahun lima bulan dan tidak mendapat pelalian bagi difteria sejak lahir.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati keluarga mangsa enggan mendapatkan pelalian atas dasar kepercayaan agama.


“Mangsa mula dikesan mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas tujuh hari sebelumnya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir pada Mac 14 lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, pemberian pelalian difteria yang lengkap pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan mampu mencegah dari penyakit tersebut.

Katanya, sekiranya kanak-kanak tidak diberikan pelalian difteria, mereka boleh dijangkiti bakteria ‘corynebacterium diphtheria’ yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak.

“Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan kanak-kanak ini sukar bernafas.

“Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung dan jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memberitahu, sepanjang tahun 2017, 32 kes positif difteria telah dilaporkan di seluruh Malaysia dengan tujuh atau 22 peratus kematian.

Ujarnya, majoriti 75 peratus dari kes dan kematian itu adalah dari komuniti yang menolak pelalian.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Justeru, KKM ingin menegaskan bahawa pelalian difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

“Jadi, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk memastikan anak-anak di bawah umur tujuh tahun diberikan imunisasi yang lengkap.

“Sekiranya terlepas tarikh atau belum mendapat pelalian yang lengkap, segeralah ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan pelalian,” katanya lagi.

Sambil menambah, beliau memberitahu, KKM ingin mengingatkan sekiranya terdapat tanda dan gejala seperti demam, sakit tekak atau kesukaran menelan atau bengkak leher, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. — DayakDaily