Pemilik akaun FB Kenedy Morie diminta tampil beri keterangan viral klip video

Polis ingin kesan pemilik FB terbabit.

KUCHING, Mac 16: Seorang pemilik akaun Facebook (FB) yang dikenali sebagai Kenedy Morie diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan berhubung penyebaran klip video seorang wanita yang dipenggal kepalanya seperti yang diviralkan dalam laman media sosial itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, keterangan daripada pemilik akuan FB itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurutnya, hasil semakan yang dilakukan, polis mendapati klip video yang diviralkan adalah dari sebuah negara di Amerika Selatan.

“Klip video yang viral dan dikaitkan dengan kes penemuan kepala seorang wanita di tebing Sungai Skait, Sri Aman adalah tidak benar sama sekali.

“Satu laporan polis telah dibuat mengenai penyebaran klip video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Dev menambah, polis memberi amaran kepada mana-mana netizen agar tidak menyebarkan berita palsu dalam media sosial.

Tegasnya, tindakan seumpamanya boleh menjejaskan siasatan dan pendakwaan kes tersebut.

Pada Mac 4 lalu, DayakDaily melaporkan seorang penduduk kampung yang dalam perjalanan pulang memancing ikan terkejut apabila menemui satu kepala manusia tanpa badan di Skait Lama di sini.

Terkejut dengan penemuan itu, dia terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily