KKM: Kluster Syarikat Pembinaan Kuching antara 2 kluster baharu hari ini

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 JULAI: Kluster Syarikat Pembinaan Kuching diantara 2 kluster baharu Covid-19 yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata,kes pertama kluster ini merupakan kes positif Covid-19 yang telah dikesan pada 11 Julai 2020, iaitu kes ke-8715.


Katanya, melalui siasatan yang telah dijalankan, sebanyak 55 kontak rapat telah dikenalpasti yang terdiri daripada 5 rakan serumah dan 50 rakan sekerja.

“Kesemua kontak ini telah disaring dan didapati negatif COVID-19.

“Kluster ini telah dikenalpasti apabila 1 kes positif (iaitu kes ke-8881) telah dikesan daripada saringan ulangan kontak-kontak rapat kes ke-8715.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif masih diteruskan. Punca jangkitan kluster adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

Manakala kluster kedua pula adalah Kluster Bukit Tiram Johor yang telah dikenalpasti apabila terdapat 2 kes positif yang telah dilaporkan di sebuah pusat keagamaan di Taman Bukit Tiram, Johor.

Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes positif iaitu kes ke-8868 dan kes ke-8869 yang dikesan dalam kluster ini merupakan bukan warganegara yang menetap di Malaysia dan merupakan kakitangan pusat tersebut.

“Kedua-dua kes positif ini telah mula mengalami gejala pada 15 Julai 2020 namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Kemudiannya mereka telah membuat saringan Covid-19 dan dikesan positif pada 24 Julai 2020.

“Sehingga 25 Julai 2020, terdapat 2 kes positif dan 10 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster ini. Semua 10 orang kontak rapat telah disaring dan masih menunggu keputusan,” katanya.—DayakDaily