Covid-19: Jumlah kes positif meningkat dengan 23 kes baharu dan 2 kluster baharu

Filepix

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Julai: Sebanyak 23 kes positif baharu Covid-19 dalam negara dilaporkan hari ini melibatkan 17 kes penularan tempatan dan enam kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,884 kes.


Dengan itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 167 kes.

“Daripada 23 kes baharu yang dilaporkan, enam kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara dan dua bukan warganegara.

“Enam kes import itu membabitkan individu yang pulang dari Singapura, Filipina, Indonesia dan Rusia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, daripada 17 kes penularan dalam negara, 10 kes melibatkan warganegara dan tujuh kes bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 123 kes.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 17 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,594 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu telah dikenalpasti hari ini, iaitu Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan Kluster Bukit Tiram Johor. -DayakDaily