Khairy: Pegawai perubatan lantikan kontrak turut diberi emolumen

Khairy Jamaluddin

KUCHING, 15 Sept: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pegawai perubatan lantikan kontrak diberi emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

Daripada aspek pemberian kemudahan lain katanya, ia diberi berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa yang melibatkan kemudahan cuti, perubatan, kuarters, pinjaman kenderaan dan komputer.

“Selain itu, pegawai perubatan lantikan kontrak turut mendapat kemudahan cuti seperti Cuti Rehat, Cuti Sakit, Cuti Haji, Cuti Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Isteri Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Kematian Ahli Keluarga Terdekat dan Cuti Tanpa Rekod Perayaan.


“Pegawai Perubatan lantikan kontrak juga telah dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa mulai tahun 2016,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan berhubung rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor-doktor kontrak di sidang parlimen hari ini.

Tambah Khairy, pada 14 Julai 2021 Kerajaan juga telah bersetuju dengan pemanjangan Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi serta Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan lantikan kontrak.

Bagi menangani masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak katanya, Kerajaan juga telah bersetuju supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun dilanjutkan tempoh kontrak untuk dua tahun lagi.

Ini bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai membuat persediaan bagi menyambung pengajian kepakaran.

“Selain itu, dalam tempoh dua tahun lanjutan kontrak ini, sekiranya pegawai ditawarkan pengajian kepakaran maka pegawai akan ditawarkan kontrak lanjutan selama empat tahun lagi untuk melengkapkan pengajian kepakaran.

“Kerajaan juga bersetuju agar KKM dan agensi berkaitan menyediakan satu pelan komprehensif yang merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu doktor kontrak ini,’ ujar beliau. — DayakDaily