MP Hulu Rajang: Kerajaan diminta bina hospital baharu di Sungai Asap

Datuk Wilson Ugak Kumbong

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 15 Sept: MP Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital baharu di Sungai Asap, Apo Kayan di Daerah Belaga.

Pada perbahasan di sidang Parlimen hari ini, beliau berkata saiz Hospital Kapit yang sedia ada tidak dapat menampung bilangan pesakit yang kian bertambah dari hari ke hari.

“Selain daripada itu Klinik Ng Mujong, Ng Gaat dan Sg Tunoh, Klinik Tubau, Klinik Ng Merit perlu dinaiktarafkan dengan kadar segera.


“Saya turut ingin mencadangkan agar klinik-klinik di kawasan luar bandar dijadikan pusat kuarantin sementara bagi membolehkan mereka yang bergejala (Covid-19) dapat menjalani tempoh kuarantin tidak jauh dari penempatan mereka,” kata Wilson.

Pada ucapan yang sama, beliau memohon kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempercepatkan Projek Menaiktaraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Tegulang di daerah Belaga Bahagian Kapit sejauh 9.5km.

Turut perlu diberi perhatian segera katanya ialah Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Mentalun di Daerah Belaga sepanjang 17.5km dan Projek Jalan Rh Nyamok ke SMK Baleh terus ke Rh. Layang di Ng Kain, Baleh.

“Saya telah banyak kali membawa perkara ini ke perhatian pihak kementerian namun sentiasa menerima jawapan yang mengecewakan.

“Rakyat di kawasan saya tidak meminta bangunan pencakar langit, hanyalah perhubungan jalan raya yang baik.

“Semoga perkara ini menjadi agenda utama Menteri KPLB dalam memastikan permasalahan ini mendapat jalan penyelesaian dengan kadar segera,” ujar Wilson. — DayakDaily