KGBS gesa guru ikut ketetapan KPM, teruskan PdPR sehingga 31 Ogos

School books. —DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 18 Julai: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa tenaga pengajar di negeri ini untuk meneruskan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 31 Ogos ini.

Presidennya Zulkiflee Sebli berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perkara tersebut adalah berdasarkan kepada keadaan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

“Guru-guru sudah pasti dalam keadaan berbelah-bahagi dengan keputusan ini. Mereka berharap agar sekolah dapat dibuka pada 26 Julai untuk sesi bersemuka.

Advertisement

“KGBS menggesa agar semua guru bersabar dengan keadaan semasa dan teruskan dengan PdPR sehingga tarikh yang diberikan KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zulkiflee, para ibu bapa harus menerima hakikat bahawa pandemik ini bukannya satu perkara yang boleh dianggap remeh.

Justeru, beliau memohon agar mereka terus memberikan sokongan dan memantau kelas yang diikuti anak masing-masing selain memaklumkan kepada guru jika menghadapi masalah berhubung PdPR.

“Bagi pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat, guru seharusnya akur dengan keputusan KPM.

“Kita (KGBS) pasti para guru sudah bersedia dengan keputusan KPM ini walaupun kedengaran nada kecewa setelah berharap dapat diadakan sesi bersemuka,” ujar Zulkiflee.

Beliau turut menasihatkan guru-guru yang masih berada di luar stesen agar kembali untuk mengelakan sebarang tindakan.

KPM pada semalam mengumumkan PdPR diteruskan sehingga 31 Ogos ini selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut KPM, ketetapan berkenaan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Mengambil kira kadar vaksinasi tenaga pengajar, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September. — DayakDaily

Advertisement