Keseronokan mandi kolam berakhir tragedi, kanak-kanak lelaki ditemui lemas

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

LUNDU, Dis 16: Keseronokan sebuah keluarga bercuti di sebuah pusat peranginan di sini berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas di dalam kolam renang di sebuah pusat peranginan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu telah mengakibatkan mangsa, 6, dari Kampung Tabuan Melayu, Kuching disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.


Ketua Polis Daerah Lundu, Dsp Wong Chee Keong berkata, sebelum kejadian, kanak-kanak lelaki bersama ibu bapa serta adik beradiknya telah datang berkunjung ke pusat peranginan di situ.

Bagaimanapun katanya, selepas mereka mencari tempat berehat, tiga beradik bersama mangsa telah pergi ke kolam renang untuk berenang.

“Namun, malang menimpa mangsa apabila dia dipercayai lemas sebelum dibawa naik ke darat oleh bapanya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sematan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Wong menambah, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — DayakDaily