Penduduk gempar, kereta Perodua Kancil terbakar

Kelihatan sebuah kereta yang musnah terbakar.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 16: Para penghuni yang menetap di Fortune Park di sini gempar dengan insiden sebuah kereta terbakar, awal pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 1.02 pagi.

Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Pasukan bomba kemudia bertindak membuat pemadaman menggunakan salur bantu mula dengan sumber air diperolehi dari tangki jentera pemadam,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba dapat mengawal kebakaran itu dalam tempoh kurang 10 minit.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 1.23 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily