Kes penyalahgunaan dadah menurun, 424 individu dicekup

Azman (kiri) menyampaikan sijil kepada anggota polis di IPK Sarawak.

KUCHING, Sept 27: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak (JSJNS) merekodkan penurunan kes melibatkan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof berkata, beliau amat berpuas hati dengan pencapaian JSJNS apabila berjaya menurunkan kadar jenayah berkenaan.

Jelas beliau, setakat ini, seramai 424 individu yang disyaki pengedar dadah berjaya dicekup di seluruh negeri dan ia adalah kejayaan besar.


“Berdasarkan rekod, daripada jumlah suspek yang ditahan, seramai 30 individu sudah dikenakan tindakan.

“Tindakan yang diambil adalah mengikut Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, manakala 20 suspek lagi juga akan dikenakan tindakan sama.

Tambah beliau, pihaknya mengesan seramai 2,563 orang penagih dadah baharu di seluruh negeri ini.

“Kita (polis) akan memerangi jenayah dadah di negeri ini khususnya dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

“Sehubungan itu, kita berharap semua pihak lebih peka dalam usaha polis mengurangkan lagi kadar jenayah dadah,” ujarnya. — DayakDaily